Kesihatan Mental dan Stigma:Tembok Besar Ciptaan Masyarakat

“Orang gilatu!”, “Jangan dengar dia cakap, nanti kau pun sama gila”, “Nanti berjangkit”, “Satu kampung tahu isteri dia tu ada penyakit mental” , “Pergi jumpa doktor sakit otak?” , “Dia tu memang ada keturunan gila”….
Ayat-ayat di atas mungkin bukanlah suatu yang luar biasa kedengaran dalam masyarakat.Ia bukan petikan mana-mana skrip drama di layar televisyen tetapi merupakan skrip yang sebenarnya telah tersemat rapi dalam layar kehidupan seharian masyarakat kita.
Penyakit mental atau jiwa, yang sering dikaitkan dengan konotasi negatif bukanlah fenomena yang berlaku sehari dua, namun telah menjadi resam yang diulang pada setiap zaman.
Tidak hairanlah dalam sirah nubuwwah juga jelas menunjukkan bahawa menuduh Utusan Allah sebagai gila sudah menjadi modus operandi yang digunakan untuk menghukum manusia. Sekurang-kurangnya terdapat 41 ayat dalam Al Quran yang merakamkan tuduhan ‘gila’ kepada para nabi.
Firaun berkata (kepada orang-orangnya): “Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila” (As-Syuara: 27)
“Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaum mu wahai Muhammad) tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: Dia adalah seorang ahli sihir atau seorang gila.” (Az-Zariyaat: 52)
Pakar sosiologi barat, Ervin Goffman mendefinasikan stigma sebagai“an attribute which is deeply discrediting.”Secara umumnya, stigma merujuk kepada:
- Label yang mendiskriminasi seseorang dari kelompok masyarakat yang lain
- Label yang mengaitkan individu dengan karekteristik negatif
- Penolakkan (rejection) masyarakat terhadap individu ini
Biarpun penyakit mental seperti skizofrenia, kemurungan, bipolar, penyakit panik dan sebagainya telah diterima secara meluas sebagai penyakit fizikal yang mempunyai asas biologi dan psikologi, namun malangnya sebahagian masyarakat masih menganggap penyakit mental sebagai sesuatu yang negatif.
Dalam erti kata lain, anda akan bersimpati dengan individu yang menghidapi penyakit kencing manis tetapi tidak jika mereka dihidapi kemurungan. Anda akan berasa selesa berkomunikasi dengan pesakit barah hati tetapi akan merasa cemas jika bercakap dengan pesakit yang mengalami psikosis. Atau pun anda merasa selesa meminta kawan baik anda menemani anda ke klinik mammogram tetapi akan begitu berahsia jika pergi berjumpa pakar psikiatri.
Stigma sebeginilah sebenarnya yang menjadikan penyakit jiwa yang mudah dirawat seperti OCD (was-was serius), kemurungan, ADHD (attention deficit hyperactive disorder), autism dan sebagainya menjadi serius dalam masyarakat. Sedangkan penyakit penyakit seperti ini boleh dikesan awal, dirawat dan dikawal kesannya terhadap individu tersebut. Ini kerana stigma yang wujud telah menjadi dinding besar yang menghalang kelompok masyarakat ini dari mendapat pertolongan yang mereka sebenarnya layak terima dari awal.
Mengapa stigma terjadi?
- Pengaruh negatif media (kajian menunjukkan 70 peratus isu/watak berkaitan penyakit jiwa dipamerkan dengan imej yang salah atau negatif)
- Pengetahuan umum masyarakat yang kurang tentang penyakit mental
- Pesakit mental dan keluarga tidak mahu tampil memberi penjelasan pada level mikromasyarakat (contohnya mengurung anak yang mengalami skizofrenia di bilik khas)
- Kurangnya akhlak baik sangka dan cuba memahami masalah orang lain
- Sistem kesihatan yang meletakkan kesihatan mental pada kelas kedua (menempatkan wad psikiatri jauh dari hospital utama, tidak menjaga privasi pesakit psikiatri sewaktu di wad kecemasan)
Bagaimana mengelakkan stigma ?
- Menginsafi bahawa penyakit jiwa adalah sebahagian dari ujian yang diberikan Allah kepada sebahagian manusia
- Memahami hakikat sebenar disebalik penyakit jiwa
- Memahami individu dan bukan melihat kepada penyakitnya
- Memahami bahawa tindakan pesakit jiwa yang adakalanya tidak normal adalah disebabkan penyakitnya dan bukan sifat peribadinya
- Peranan media memberi kesedaran dan melawan stigma dalam masyarakat
- Menghayati ajaran islam yang menekankan akhlak dan perhubungan sesama manusia
- Mendapatkan nasihat dari mereka yang pakar dalam bidang ini
Secara kesimpulannya, penyakit mental harus dilihat sebagai sebahagian dari isu yang perlu diberi perhatian semua secara serius dan selayaknya. Tembok besar bernama stigma yang datang dalam pelbagai bentuk dalam masyarakat harus diruntuhkan segera secara kolektif.
No comments:
Post a Comment